Berita Forex dan pasaran lain
Berita Yang Bakal Menjelang / 15.08.2022 - 22.08.2022
Berita Yang Bakal Menjelang / 15.08.2022 - 22.08.2022
Minggu depan pedagang akan memberikan fokus pada data inflasi CPI dari Zon Euro, England dan CPI Teras (mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan tidak termasuk makanan dan tenaga) dari Kanada.
Oleh kerana pada bulan Julai inflasi di Zon Euro meningkat ke satu lagi rekod tertinggi, ia mungkin belum tiba di paras kemuncaknya sehingga beberapa bulan lagi. Pada mulanya, inflasi disebabkan oleh masalah bekalan pasca pandemik, tetapi baru-baru ini sebab utamanya adalah kesan konflik Rusia-Ukraine, yang menyebabkan kenaikan harga tenaga, logam dan makanan. Situasi yang sama berlaku di U.K. dan Kanada, di mana gangguan dalam rantaian bekalan telah memburukkan ancaman keterjaminan makanan dan tenaga, mendorong kenaikan harga. Inflasi adalah dilema bagi bank pusat, kerana harga yang tinggi melangit melambatkan pertumbuhan ekonomi, yang boleh, dalam kes terburuk, membawa kepada kemelesetan.
Data Jualan Runcit akan diterbitkan di A.S., U.K. dan Kanada. Ia dijangka meningkat di U.K. kerana Selasa lalu Konsortium Runcit British menunjukkan bahawa nilai jumlah jualan 2.3% lebih tinggi berbanding pada Julai 2021. Gelombang panas itu mendorong pembeli British untuk berbelanja lebih banyak untuk pakaian musim panas, makanan berkelah, dan penyaman udara pada bulan Julai.
Di Kanada, jualan runcit meningkat kepada 2.2% pada bulan Mei, yang kebanyakannya disebabkan oleh harga yang lebih tinggi. Dijangka bahawa perbelanjaan pengguna keseluruhan akan bertahan dengan baik sepanjang bulan-bulan musim panas, jadi data jualan runcit mungkin akan meningkat pada minggu depan.
Di A.S., jualan runcit meningkat sebanyak 1.0% pada bulan Jun – sekali lagi disebabkan oleh harga yang lebih tinggi, yang terus memberi kesan yang ketara kepada indikator-indikator utama. Perbelanjaan pengguna dijangka akan menyokong jualan runcit, dan angkanya akan berkembang.
Sentimen Ekonomi ZEW Jerman akan diumum pada hari Selasa. Data menunjukkan bahawa indeks ini jatuh ke paras -53.8 pada bulan Julai. Indikator ini mengukur optimisme pelabur dan penganalisis institusi mengenai situasi ekonomi semasa mereka. Harga komoditi yang tinggi memberikan kesan yang negatif terhadap sentimen ekonomi, jadi indeks ini mungkin akan kekal pada tahap yang rendah.
Bank Rizab New Zealand (RBNZ) akan membuat keputusan mengenai kadar faedah. Pengguna dan perniagaan bimbang tentang harga yang melambung tinggi dan peningkatan kos pinjaman, jadi terdapat kebimbangan bahawa New Zealand mungkin jatuh ke kancah kemelesetan pada separuh kedua tahun 2022. Oleh kerana bank pusat New Zealand sedang menuju ke arah kitaran kenaikan kadar faedah yang agresif dalam cubaan untuk membendung inflasi, ia mungkin akan menaikkan kadar pada minggu hadapan.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun mungkin akan berkembang sebanyak 0.6% pada suku kedua. Ekonomi Jepun pulih pada bulan April-Jun lantaran dari perbelanjaan pengguna yang besar untuk perkhidmatan individu. Namun begitu, terdapat kebimbangan mengenai penularan varian baharu koronavirus, yang boleh membawa kepada sekatan baharu. Sebelum ia berlaku, indikator KDNK berpotensi untuk tumbuh.