Berita Forex dan pasaran lain
Strategi Perdagangan Forex
Strategi Perdagangan Forex
Perkara pertama yang perlu anda ketahui sebelum mula berdagang adalah betapa perdagangan yang intuitif dan tidak bersistem akan membawa kepada kerugian modal.
Apakah Itu Strategi Perdagangan
Strategi perdagangan adalah satu set peraturan yang mentakrifkan semua tindakan yang harus dilakukan oleh pedagang di dalam proses perdagangan.
Strategi perdagangan juga dikenali dengan istilah sistem, algoritma atau pelan. Strategi harus menentukan langkah-langkah yang mesti diambil oleh pedagang di bawah pelbagai keadaan pasaran yang berbeza. Sebagai contoh, jika pedagang membuka atau menutup suatu posisi, maka beliau mesti faham dengan jelas mengapa dia melakukan hal tersebut.
Manfaat Utama Strategi Perdagangan
-
Disiplin
-
Kawalan emosi
-
Kawalan risiko
-
Pemahaman pasaran
-
Pemikiran yang kritis
Kekurangan disiplin dan perdagangan beremosi adalah musuh yang paling utama bagi mana-mana pedagang. Ini sering menjadi punca di sebalik kerugian yang besar. Pemula biasanya membuat kesilapan besar apabila mereka mula berdagang di pasaran Forex berlandaskan kepercayaan dan intuisi mereka sendiri. Pendekatan ini salah, dan walaupun ia membawakan beberapa keuntungan kecil di peringkat permulaan, ia akhirnya akan menyebabkan deposit anda lebur. Pedagang yang mahir berdagang hanya menggunakan strategi, yang membolehkan mereka menjana wang yang lumayan.
Jenis-Jenis Strategi Perdagangan
Terdapat pelbagai jenis strategi perdagangan di pasaran. Berikut antara yang utama:
-
Berdagang berdasarkan indikator
-
Strategi mengikut trend
-
Sistem berasaskan pola carta
-
Berdagang berdasarkan aras harga
-
Strategi-strategi yang universal
Berdagang berdasarkan indikator adalah salah satu strategi yang paling popular. Urusniaga dibuka bergantung pada isyarat yang boleh dilihat pada indikator di carta. Sebagai contoh, dengan menggunakan Osilator Stokastik, anda boleh memantau penyilangan garisannya sebagai isyarat untuk membeli atau menjual. Biasanya, gabungan 1 hingga 3 indikator digunakan untuk mendapatkan isyarat yang lebih tepat.
Strategi mengikut trend adalah satu lagi jenis sistem perdagangan yang paling lazim digunakan. Ia berdasarkan andaian bahawa harga bergerak di dalam trend, iaitu ke atas atau ke bawah. Oleh itu, ia sama ada trend yang semakin meningkat atau menurun. Perlu diketahui bahawa apa yang ditakrifkan sebagai trend pada carta harian sering berubah menjadi pembetulan pasaran bila dilihat dari perspektif bulanan.
Sistem berasaskan pola carta digunakan sebagai tambahan kepada strategi perdagangan lain. Pola ialah bentuk-bentuk di carta yang dibentuk oleh dinamik harga.
Pola yang paling terkenal termasuklah pola analisis teknikal seperti "Head and Shoulders", "Double Top and Double Bottom" dan lain-lain.
Strategi aras harga adalah strategi yang berdasarkan pada andaian bahawa harga bergerak di antara aras-aras rintangan dan sokongan. Urusniaga beli dibuka berhampiran aras sokongan, dan urusniaga jual dibuka berhampiran aras rintangan. Anda juga boleh menggabungkan indikator osilator dengan aras rintangan dan sokongan.
Strategi universal dianggap sebagai yang paling andal (reliable), kerana ia berdasarkan gabungan pelbagai sistem yang diterangkan di atas, dan bukan hanya satu pendekatan tertentu sahaja.
Strategi juga boleh dibahagikan kepada strategi jangka panjang, jangka sederhana dan jangka pendek. Sebarang strategi perdagangan Forex mesti diuji di akaun demo sebelum ia boleh digunakan di akaun sebenar. Ini membantu anda memahami semua ciri sistem perdagangan tersebut, belajar untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan anda, dan untuk mengurangkan risiko perdagangan di masa hadapan.
Pedagang yang mahir menggunakan beberapa jenis sistem perdagangan dalam satu masa yang sama untuk menghindar risiko dan meningkatkan kadar keberuntungan dalam perdagangan.
Contoh Kombinasi Beberapa Strategi Perdagangan
Strategi ini berdasarkan Osilator Stokastik dan RSI (Relative Strength Index), serta turut menggunakan garisan trend.
Selepas trend sudah ditentukan – dalam contoh ini ia trend menaik– pedagang membuka urusniaga beli, dengan syarat bahawa garisan stokastik bersilang di zon terlebih jual dan garisan RSI berada di atas paras 50.
Pada masa yang sama, anda perlu memberi perhatian bahawa harga sedang berada berhampiran dengan garisan trend, yang memainkan peranan sebagai aras sokongan di dalam contoh ini. Indikator harus digunakan bukan sahaja untuk membuka posisi perdagangan, tetapi juga untuk keluar darinya. Oleh itu, posisi ditutup apabila garis stokastik bersilang dalam zon terlebih beli seperti yang ditunjukkan di dalam gambar.
Setiap jenis sistem perdagangan yang dipilih oleh pedagang bergantung pada situasi pasaran, pengalaman penggunaan dan kemahiran masing-masing. Oleh itu, setiap pedagang mesti mengetahui sistem perdagangan, iaitu, berdagang mengikut peraturan strategi. Ia berfungsi seolah-olah seperti suatu simulator untuk disiplin dan kawalan diri, ciri-ciri yang membentuk jati diri setiap pedagang yang berjaya.